Pemakaian ESG kepada PMKS: kelestarian jangka panjang perniagaan 

Pengenalan

“Perniagaan mesti dijalankan dengan matlamat untuk mencapai keuntungan, Jika tidak ia akan gulung tikar. Tetapi apabila sesiapa menjalankan perniagaan dengan matlamat untuk mengaut keuntungan semata-mata dengan mengabaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat, maka perniagaan itu tidak akan bertahan lama, kerana ia tidak mampan dan relevan untuk bertahan lama”. Henry Ford (Ford Motor)

Hampir seratus tahun sejak itu, kata-kata hikmat ini menunjukkan kebenarannya. Aktiviti mengaut keuntungan yang berlebihan dan tidak terkawal tanpa mengira aspek kepentingan umum dan persekitaran, menyumbang kepada kemelesetan kewangan dan kejatuhan kepada syarikat-syarikat gergasi dunia.

ESG merupakan singkatan bagi Environmental, Social dan Governance dan juga dikenali sebagai prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Pelaburan dan pematuhan dalam ESG kini semakin mendapat tarikan dari kalangan pelabur, manakala Impak dan pelaporan pematuhan ESG yang mampan menjadi perhatian utama kepada kedua-dua pengawal selia dan pelabur di seluruh dunia.

ESG dan PKS

Proses pematuhan peraturan dan prestasi ESG yang kompetitif melibatkan pelaburan masa dan sumber yang besar disamping kekurangan tenaga pakar yang menyediakan perkhidmatan ​ini ​terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Disamping ini, kekangan utama lain adalah kita masih belum punyai Standard dan Rangka Kerja pelaporan yang seragam diseluruh dunia khususnya kepada sektor PKS.  

Namun, dengan pematuhan yang tinggi oleh syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia khususnya, standard yang jelas perlu dipatuhi iaitu ‘IFRS Sustainability Disclosure Standards’ yang dikeluarkan oleh ‘International Sustainability Standards Board (ISSB)’ iaitu standard bertujuan untuk menyelaraskan pelaporan perakaunan secara global dan meningkatkan ketelusan dalam pasaran kewangan khususya syarikat senarian awam.  

Implikasi pematuhan ini membawa impak positif kepada syarikat bukan sahaja dapat mengelakkan risiko perniagaan, tetapi juga potensi teroka pasaran baru dari kalangan pelanggan korporat terkemuka. Ianya merupakan peluang kepada PKS yang mempunyai aspirasi timggi untuk meneroka peluang sebagai sebahagian dari ekosistem pembekalan kepada syarikat-syarikat tersenarai dengan mengambil langkah proaktif dalam pematuhan dan pelaporan telus ESG dalam amalan perniagaan mereka.

Tindakan PMKS

Piawaian dan peraturan pelaporan ESG berkembang pesat dan samada secara langsung dan atau tidak akan memberi kesan kepada PKS untuk kekal relevan dan berdaya saing, PKS perlu memastikan mereka meraikan inisiatif ESG dengan turut sama mengurangkan penglibatan dalam aktiviti pelepasan gas rumah hijau kepada yang terlibat secara langsung dengan sektor ini, menjaga kebajikan dan hak pekerja, serta mengamalkan amalan tadbir urus perniagaan yang telus dan tidak terlibat dengan amalan salah laku.

Sebahagian PKS mula merasakan tekanan daripada sebahagian pengawal selia yang lebih terperinci dalam pemantauan dan pelaporan audit pematuhan alam sekitar, pelanggan yang menitik beratkan elemen persekitaran, keselamatan dan kebajikan pekerja, sektor kewangan yang mula meletakkan syarat-syarat pematuhan tertentu kepada sektor yang ingin mendapatkan kemudahan kewangan.

Ini termasuk kepada syarikat tersenarai yang telah mula menggunapakai pelaporan ‘Integrated Reporting’ dan pematuhan penuh kepada standard pelaporan ISSB yang menitik beratkan ekosistem rantaian bekalan mereka dari kalangan PKS melalui laporan data dan risiko ESG. Sekiranya tidak bersedia, PKS bakal terancam dan tidak punyai masa yang untuk terus alpa. ‘Banyak yang perlu dilakukan dalam tempoh masa yang sangat singkat.’

Saranan panduan ringkas awalan kepada PMKS:

i- Selaraskan visi, prinsip dan nilai syarikat. Mulakan langkah dengan melihat kembali objektif dan nilai penubuhan syarikat melalaui perubahan polisi syarikat. Penyuburan pembudayaan dalaman kepada setiap warga kerja dengan mandakap prinsip UNSDG terhadap cakna persekitaran, hak kebajikan pekerja dan masyarakat, ketelusan amalan tadbir urus dan anti rasuah demi memastikan aktiviti pembudayaan syarikat kearah budaya cakna ESG lebih fokus dan lestari.

ii- Wujudkan governan ESG dan pengawasan risiko. Mewujudkan sistem dan proses pengawasan yang berkesan terhadap risiko dan prestasi ESG di peringkat lembaga pengarah dan pengurusan kanan. PKS juga boleh menubuhkan jawatankuasa ESG, menambah tanggungjawab kepada jawatankuasa sedia ada ataupun menjemput pakar luar untuk sama-sama memantau perkembangan pembudayaan dan pematuhan ESG. Seterusnya mengintegrasikan pamatuhan ESG ke dalam sistem dan proses pengurusan risiko perusahaan (ERM) sedia ada untuk mempertingkatkan daya tahan syarikat dan tidak terdedah kepada risiko ketidakpatuhan.

iii- Membina kapasiti pematuhan dalaman. Melatih kakitangan utama dari pelbagai peringkat khususnya pasukan kewangan syarikat untuk lebih memahami aspirasi pematuhan dan pelaporan yang selari dengan standard laporan ESG. Pasukan kewangan lebih bersedia ekoran dari pemahaman terhadap proses dan kawalan pematuhan proses didalam syarikat.

iv- Libatkan pemegang taruh. Mulakan langkah-langkah berhubung dengan pembekal dan pelanggan utama syarikat setelah langkah pematuhan peringkat dalaman bertambah baik. Komunikasi ini penting untuk memberikan indikasi positif kepada pemegang taruh utama terhadapa keseriusan perniagaan anda kearah Langkah pematuhan. Dapatkan data dan kongsikan aspirasi perniagaan anda, sekiranya bernasib baik, perniagaan anda mungkin mendapat panduan dan bimbingan dari pelanggan-pelanggan utama dari kalangan syarikat yang tersenarai yang mempunyai kepakaran dalaman.

v- Berhubung dengan rakan industri anda. Tiada perniagaan mampu bergerak jauh dengan sendiri, berhubung dengan jaringan sesama industri dengan menyertai dan menyokong aktiviti kumpulan yang berkaitan. Di sinilah bermulanya kerjasama dengan pembekal dan pelanggan untuk menunjukkan sokongan terhadap perundangan kemampanan yang progresif.

Kehadapan

Pematuhan ESG dan pelaporan mampan merupakan satu megatrend, Perniagaan yang mempunyai aspirasi untuk terus kekal relevan akan melihat pematuhan ESG berbaloi dan memberi nilai tambah kepada syarikat, tanpa mengira samada konglomerat mahupun PKS. Konglomerat akan mendapat reputasi penjenamaan imej yang positif disamping pematuhan, manakala PKS pula akan menikmati akses kewangan yang baik dari institusi kewangan yang sememangnya patuh kepada piawaian ESG melalui inisiatif ‘Value-Based Intermediation (VBI)’, manfaat lain pula adalah seperti peluang perniagaan yang lebih luas didalam ekosistem pembekalan syarikat-syarikat tersenarai, dilihat lebih berketrampilan dan dipercayai, mampu menarik lebih ramai bakat muda yang punyai kesedaran ESG yang tinggi untuk berkhidmat bersama-sama mengembangkan organisasi.

Pandangan peribadi FMC. Beliau boleh dihubungi melalui faisal@faisalmalikco.com

ESG Awareness and Shared Prosperity

 

 

Related Posts

ESG Awareness and Shared Prosperity

Environmental, Social and Governance (ESG) Investing has grown rapidly over the past decade, and the amount of professionally managed portfolios that ...