Saya, seperti sebahagian dari kalangan Rakyat tertunggu- tunggu dengan laporan RCI ini. Sebaik sahaja dijadikan dokumen awam, kita semua dapat akses kepada laporan tersebut. Ramai yang berbincang di media sosial dan di platform tertentu berkaitan dengan angka kerugian, pelaburan bermasalah, pembayaran hibah dan siapa yang harus dipersalahkan. Namun, daripada sudut tadbir urus, persoalan yang lebih besar ialah:
Bagaimanakah sebuah institusi yang mempunyai Lembaga, pengurusan profesional, panel pelaburan, juruaudit, penasihat Syariah, fungsi kawalan dan kementerian pengawal masih boleh sampai ke tahap ini?
Laporan RCI Tabung Haji setebal 211 halaman itu mengemukakan 25 syor penambahbaikan. Kerajaan memaklumkan bahawa kira-kira 75% daripadanya telah dilaksanakan dan siasatan penguatkuasaan akan diteruskan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang. Ini perkembangan yang wajar diiktiraf, tetapi baki syor serta keberkesanan pelaksanaannya tetap perlu dipantau secara terbuka.
Sepanjang penglibatan saya dalam bidang tadbir urus, disiplin profesional dan penyiasatan berkaitan amalan tadbir urus, saya berpeluang meneliti pelbagai isu melibatkan organisasi korporat, golongan profesional serta entiti berkepentingan awam. Pengalaman ini termasuk kapasiti terdahulu saya sebagai ahli Jawatankuasa Rayuan Tatatertib MIA dan peranan semasa sebagai ahli Panel Disiplin Majlis Peguam Malaysia, yang kini memasuki tahun ketujuh.
Sebahagian besar pengalaman tersebut semestinya tertakluk kepada kewajipan kerahsiaan. Oleh itu, pandangan dalam artikel ini tidak merujuk kepada fakta sulit mana-mana prosiding atau entiti, tetapi berasaskan sumber awam serta pemerhatian profesional terhadap pola kegagalan tadbir urus yang sering berulang.
Kegagalan besar jarang bermula dengan satu transaksi besar. Ia bermula apabila terlalu ramai memilih untuk tidak bertanya, tidak mencabar dan tidak merekodkan bantahan ketika pintu kepincangan baru mula terbuka.
1. Kuasa yang terlalu tertumpu
Antara isu utama yang dikenal pasti RCI ialah keluasan kuasa menteri, termasuk dalam pelantikan dan penamatan anggota Lembaga serta keputusan tertentu yang mempunyai implikasi besar terhadap institusi.
Masalahnya bukan semata-mata siapa yang menjadi menteri. Masalah sebenarnya ialah apabila terlalu banyak kuasa tertumpu pada satu jawatan tanpa mekanisme semak dan imbang yang setara.
Menteri mempunyai mandat politik dan tanggungjawab dasar, tetapi tidak semestinya memiliki kepakaran mendalam dalam pengurusan dana, pelaburan, perakaunan, risiko dan kewangan institusi. Dalam urusan hibah pula, Akta Tabung Haji 1995 memperuntukkan bahawa Lembaga menentukan keuntungan boleh agih, tetapi pengisytiharannya memerlukan kelulusan menteri. Akta Tabung Haji 1995
Apabila pihak yang mempunyai kuasa statutori bergantung kepada cadangan pengurusan, sedangkan Lembaga pula tidak cukup kompeten atau bebas untuk mencabar, kuasa sebenar secara tidak langsung boleh beralih kepada pihak yang menguasai maklumat, iaitu pengurusan.
2. Pelantikan politik tanpa ukuran kompetensi
RCI mengesyorkan ahli politik aktif tidak dilantik sebagai pengerusi atau anggota Lembaga TH dan anak syarikatnya. Isunya bukan label “ahli politik” semata-mata, tetapi asas dan tujuan pelantikan tersebut.
Persoalan yang sepatutnya ditanya ialah:
- Adakah pelantikan dibuat berdasarkan kompetensi?
- Adakah calon berpengalaman mengurus dana dan pelaburan kompleks?
- Adakah mereka memahami tanggungjawab fidusiari?
- Mampukah mereka mencabar kertas dan andaian pengurusan?
- Adakah mereka bebas daripada tekanan politik dan kepentingan jangka pendek?
- Adakah mereka mempunyai masa dan keberanian untuk berkata tidak?
MCCG menekankan pelantikan berdasarkan merit, kemahiran, pengalaman, integriti, kebebasan pertimbangan dan komitmen masa. Walaupun MCCG disasarkan terutamanya kepada syarikat tersenarai, kod tersebut sendiri menggalakkan entiti tidak tersenarai, termasuk perusahaan milik kerajaan, menerima pakainya sebagai aspirasi dan penanda aras tadbir urus. MCCG 2021
Bagi sebuah institusi yang mengurus simpanan dan amanah umat Islam, standardnya sepatutnya sekurang-kurangnya setara, malah lebih tinggi.
3. Apabila profesional disajikan terlalu banyak jawatan
RCI turut merekodkan anggota Lembaga dan pegawai kanan yang memegang banyak jawatan dalam anak syarikat TH.
Dalam kalangan anggota Lembaga, terdapat individu yang memegang tujuh, lapan atau sembilan jawatan dalam anak syarikat. Seorang CEO dilaporkan menduduki 18 lembaga, manakala CFO Kumpulan berada dalam 23 lembaga anak syarikat. Sebahagian pengarah bebas pula menduduki sebagai ahli lembaga dalam 7 anak syarikat, ini tak termasuk penglibatan mereka sebagai ALP di syarikat-syarikat lain.
Memegang 23 jawatan tidak semestinya secara automatik melanggar undang-undang. Had lima jawatan Bursa pula merujuk kepada jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai, bukannya secara automatik semua anak syarikat tidak tersenarai.
Namun, tadbir urus tidak boleh dinilai hanya melalui persoalan, “Adakah ia melanggar undang-undang?” Ia harus ditanya secara profesional, rendah hati dan bermaruah dikalangan profesional itu sendiri…
Persoalan yang lebih penting ialah:
- Adakah seseorang mempunyai masa untuk membaca dan memahami setiap kertas?
- Berapa banyak mesyuarat yang benar-benar dihadiri?
- Mampukah beliau memahami operasi dan risiko setiap syarikat?
- Siapakah yang menyediakan, meluluskan dan kemudiannya menyemak angka yang sama?
- Bagaimanakah konflik antara kepentingan induk dengan anak syarikat diuruskan?
- Adakah jawatan tersebut membawa elaun atau manfaat lain?
- Siapakah yang menilai keberkesanan pengarah berkenaan?
Apabila CFO Kumpulan turut berada dalam begitu banyak lembaga anak syarikat, risiko self-review menjadi nyata. Individu yang terlibat menyediakan atau menyatukan maklumat kewangan mungkin turut meluluskan akaun anak syarikat dan kemudiannya melaporkan prestasi tersebut kepada Lembaga induk.
MCCG meminta Lembaga menilai sama ada seseorang pengarah terlalu terbeban atau overstretched. Maka, walaupun 23 jawatan itu tidak semestinya melanggar had khusus, ia tetap sukar dipertahankan dari sudut masa, fokus, kebebasan pertimbangan dan keberkesanan pengawasan.
4. Apabila Lembaga lemah, pengurusan menjadi terlalu dominan
Lembaga sepatutnya menentukan arah, meluluskan perkara material, mengawasi risiko dan mencabar pengurusan.
Namun, jika anggota Lembaga: tidak mempunyai kompetensi yang sepadan; terlalu banyak memegang jawatan; bergantung sepenuhnya kepada maklumat pengurusan; tidak mempunyai masa meneliti kertas; terikat dengan pihak yang melantik mereka; atau enggan merekodkan pandangan berbeza, maka semak dan imbang hanya tinggal pada carta organisasi.
Dalam bilik mesyuarat yang mempunyai pelbagai agenda, kertas yang tebal dan masa yang terhad, pihak yang menguasai maklumat lazimnya akan menguasai keputusan.
Lembaga mungkin mempunyai kuasa di atas kertas, tetapi pengurusan memiliki angka, konteks, akses kepada operasi dan keupayaan menentukan bagaimana sesuatu isu dibentangkan. Tanpa Lembaga yang kompeten, berani dan benar-benar bebas, keputusan pengurusan mudah diterima sebagai formaliti.
Inilah perbezaan antara governance in form dengan governance in substance, struktur kelihatan lengkap, tetapi fungsi mencabar, menyemak dan mempertanggungjawabkan tidak benar-benar berlaku.
5. Mengapa golongan profesional memilih untuk berdiam diri?
Ini persoalan yang kurang dibincangkan. Apabila profesional diberikan pelbagai jawatan, elaun, kedudukan atau akses kepada kuasa, adakah kebebasan profesional mereka masih terpelihara?
Profesional tidak dilantik hanya untuk mengesahkan kertas, melengkapkan kuorum atau memberi gambaran legitimasi kepada sesuatu keputusan. Mereka bertanggungjawab untuk:
- bertanya soalan yang sukar;
- menguji andaian pengurusan;
- meminta pandangan bebas;
- mengisytiharkan dan mengurus konflik kepentingan;
- menolak keputusan yang tidak wajar; dan
- memastikan pandangan berbeza serta bantahan direkodkan dalam minit.
Tidak semua keputusan yang akhirnya gagal membuktikan salah laku. Lembaga juga dibenarkan membuat pertimbangan perniagaan berdasarkan maklumat yang munasabah pada ketika itu. Namun, apabila terdapat red flags, amaran terdahulu atau percanggahan angka, pergantungan membuta tuli kepada pengurusan bukanlah suatu pembelaan yang memadai.
Berdiam diri ketika seseorang mengetahui atau sepatutnya mengetahui kewujudan tanda amaran bukanlah sikap neutral. Dalam tadbir urus, diam kadangkala menjadi sebahagian daripada kegagalan kawalan.
6. Banyak lapisan kawalan tidak menjamin kawalan yang berkesan
Kes ini bukan sekadar kegagalan seorang individu atau satu jabatan. TH mempunyai Lembaga, pengurusan profesional, panel pelaburan, juruaudit, kementerian pengawal dan pelbagai fungsi kawalan.
Namun, apabila setiap pihak menganggap pihak lain telah menjalankan tugasnya, terjadilah accountability gap: Semua mempunyai peranan, tetapi akhirnya tiada siapa benar-benar memikul tanggungjawab. Sebab itu reformasi tidak boleh berhenti pada pertukaran individu. Ia perlu menyentuh struktur dan budaya, antaranya:
- mengehadkan kuasa menteri dan memperjelas perkara yang memerlukan semakan bebas;
- menetapkan matriks kompetensi Lembaga;
- menghalang pelantikan ahli politik aktif;
- mewujudkan proses pencalonan yang telus dan bebas;
- mengehadkan jawatan silang dalam anak syarikat;
- memisahkan fungsi penyedia, pelulus dan penyemak;
- melaksanakan penilaian keberkesanan Lembaga secara bebas;
- merekodkan pandangan berbeza dan bantahan dalam minit;
- mengukuhkan perlindungan pemberi maklumat;
- memperkenalkan mekanisme clawback terhadap bonus berasaskan keuntungan yang terlebih nyata; (selari dengan saranan RCI) dan
- menerbitkan kemajuan pelaksanaan semua syor RCI secara berkala (Yang penting adalah tindakan susulan dari dapatan RCI).
Makluman bahawa 75% syor telah dilaksanakan ialah permulaan yang positif. Namun, pelaksanaan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan jumlah syor yang ditandakan “selesai” semata-mata. Yang perlu dinilai ialah sama ada reformasi tersebut benar-benar mengubah struktur kuasa, tingkah laku Lembaga dan budaya membuat keputusan.
Akar umbinya ialah keberanian profesional
Undang-undang boleh dipinda. Struktur boleh disusun semula. Jawatankuasa baharu boleh diwujudkan.
Namun, jika budaya “jangan persoalkan pihak yang melantik kita” masih kekal, kepincangan yang sama boleh berulang dalam bentuk dan institusi yang berbeza.
Semangat MCCG, profesionalisme dan tadbir urus Islam bertemu pada prinsip yang sama:
Mereka yang diberikan amanah bukan sekadar perlu bebas daripada salah laku. Mereka mesti mempunyai kompetensi, masa, kebebasan dan keberanian untuk menghalang salah laku daripada bermula.
Perkara ini turut menjadi fokus kajian PhD saya, meneliti secara empirikal bagaimana penglibatan dan jaringan politik boleh menjejaskan tadbir urus serta kelestarian kewangan organisasi berkepentingan awam.
Reformasi sepatutnya dilakukan sebaik sahaja mandat diterima, termasuk mengehadkan pelantikan politik dalam lembaga agensi dan syarikat berkepentingan awam.
Ini bukan soal parti atau kerajaan mana. Institusi tersebut bukan milik pemerintah yang sedang berkuasa. Ia amanah dan hak rakyat.
Selagi pelantikan dibuat berdasarkan kedudukan dan kesetiaan, bukannya kompetensi, integriti dan kebebasan pertimbangan, rakyat akhirnya akan menanggung akibatnya.
Reformasi sebenar ialah keberanian mengehadkan kuasa dan kepentingan politik sendiri ketika sedang berkuasa, bukan sekadar membongkar kelemahan pemerintahan terdahulu.
Persoalan RCI ini bukan sekadar tentang apa yang telah berlaku kepada Tabung Haji. Persoalan yang lebih besar ialah: berapa banyak lagi institusi awam mempunyai struktur kuasa, budaya pelantikan dan sikap berdiam diri yang sama, tetapi pintunya masih belum terbuka kepada pengetahuan masyarakat?
“Institusi awam bukan habuan politik. Ia amanah dan milik RAKYAT”
FM, 30 July 2026
